Thursday, February 3, 2011

Sekitar Pasar Malam UIA

Assalamu'alaykum,

Malam ini, bulan kelihatan tersipu-sipu malu. Seakan-akan segan untuk menonjolkan dirinya. Kendatipun, cahayanya tetap setia menyinari di segenap alam ini. Jam dikomputer menunjukkan 11:16 minit malam, menandakan malam semakin hampir kepada puncaknya sebelum pagi menjengah. Biarlah entri kali ini aku berbahasa Melayu, bahasa kebanggaan ku, diterap sejak aku mula melangkah ke bumi ini, Alhamdulillah.

Cuti penggal semester telah pun bermula. Seminggu diberi, dan masa sungguh kian menjadi lebih pantas hari demi hari. Takut aku memikirkannya. Tinggal lagi 4 hari sahaja sebelum Kuliyyah dibuka semula.

Aku sampai di UIA waktu Maghrib hari ini. Hampir 3 hari aku berulang-alik dari rumah ke UIA untuk menyiapkan tugasan diberikan Pensyarah. Aku tiba sedikit lewat, dan terlepas jemaah yang pertama, Alhamdulillah, ada juga yang baru sampai dan baru sahaja ingin menunaikan solat. Terus aku mengikuti mereka. Seusai solat, aku ke HS cafe, hajat di hati ingin bertemu dengan sahabat dan melegakan sedikit tekak dengan sedikit minuman Teh Ais, minuman kegemaran. Lain dirancang, lain pula yang jadi. Terlihat seorang senior, yang baru saja tamat jurusan Ekonomi Sains dan Pengurusan di UIA, lalu aku melabuhkan diri di meja tempat beliau bakal menjamah roti canai dan berkongsi cerita dan khabar masing-masing.

Seorang rakan ku, Ifran dan seorang lagi berasal dari Mesir menegurku memberitahu hajat mereka untuk ke Pasar Malam dibelakang UIA Gombak. Walaupun aku sudah tinggal di sekitar Kuala Lumpur hampir 20 tahun, tetapi aku masih belum pernah lagi ke Pasar Malam berhampiran UIA Gombak. Niat untuk mengikut mereka bermain didalam minda, lalu aku biarkan mereka pergi dahulu. Selesai saja aku berborak dengan senior ku sebentar tadi, terus aku menuju ke Pasar Malam tersebut yang memakan masa sekurang-kurangnya 6-7minit jika berjalan kaki.

Aku memulakan langkah, melepasi Azman Harun Hashim Complex sebuah bangunan yang baru siap dibina awal Julai tahun lepas. Aku terus maju ke hadapan, dan sampai sahaja di pagar belakang, kelihatan begitu banyak kanopi tersusun dibahu jalan, diterangi lampu kalimantan dan dipenuhi oleh pelanggan. Aku beristighfar dalam hati

" Apakah niat ku sebenar untuk pergi ke pasar malam?. Jalan-jalan? Tiada matlamat? Adakah aku begitu naif sehingga membiar sahaja nafsu mengawali diri ku yang serba serbi ini. "

Aku teringat akan satu Hadis dimana mafhumnya, Rasulullah melarang umatnya untuk pergi ke pasar dengan tujuan untuk bersiar-siar dan membuang masa kerana di situ terdapat begitu banyak Syaitan berkeliaran.

The Prophet (sal Allahu alaihi wa sallam) said: “The dearest parts on the face of the earth near Allah are its mosques, and the most hated parts near Allah are its markets.”
[Sahih Muslim]

" Try to get one maybe some Kuih (cake) or Dadih, Insha Allah"

Aku berbisik sendirian.

Aku meneruskan perjalanan dan kelihatan sahabatku, Ifran berjalan dari arah yang bertentangan. Dihulurnya tangan dan salam diberi. Subhan Allah. Indahnya Islam mendidik kita Adab dan Akhlaq.

Toleh kiri, Subhan Allah, penuh makanan pelbagai citarasa dijual. Kebersihannya diragui, tetapi aku yakin insha Allah yang mereka pasti menitikberatkan nilai kebersihan, dibuangnya su'udzon aku praktikkan husnuzon. Pakaian turut dijual, kanak-kanak, dewasa, permainan dan bermacam lagi. Aku alihkan pandangan seketika kearah remaja yang berada disitu, remaja dimana kebanyakkan mungkin lebih muda dari ku, seusia dan lebih tua. Sepintas lalu, aku terlihat seorang gadis, berpakaian yang sangat mengesalkan. Bukannya aku merenung kearahnya, tetapi cukuplah sepintas lalu itu menunjukkan begitu telah rapuhnya Akhlaq sebahagian gadis muslimah kita. Bukannya aku hendak menghukum, tetapi hendak mengambil pengajaran dan dijadikan sempadan. Ya, aku sedar yang kita tiada hak untuk menghukum apatah lagi apabila kita hanya diam bisu dan tidak menegur. Gadis itu berpakaian t-shirt pendek, mempamerkan bahagian yang tidak sepatutnya dan memakai seluar yang sangat pendek, sehingga kelihatan harta yang bernilai, diperjuangkan Rasulullah SAW supaya dihormati dengan ditutupi dengan kain akan tetapi, seakan mereka tidak begitu menghargai pengorbanan Rasulullah SAW.

Disuatu sudut lain yang lain pula, remaja lelakinya lebih bersuka berjalan didalam kelompok atau berkumpulan. Mereka diam-diam sahaja, dan suka saja merenung kearah diriku saat aku melintasi mereka, dilemparkan senyuman manis terhadap mereka, dibalas dengan wajah penuh kekeliruan. Aku tergelak sendirian.

Aku terus lagi berjalan, melihat gelagat manusia yang aneka ragam. Sangat tersentuh apabila melihat Pak Cik dan Mak Cik yang berusia tetapi masih lagi gigih mencari rezeki. Teringat akan Babah di rumah. Beliau sudah pun mencecah usia 61 tetapi masih gagah mencari nafkah buat kami. Nabil doakan syurga untuk Babah, insha Allah.

Kereta dan motor saling berselisihan dan kelihatan Hafizan, rakan seperjuangan ku dari Foundation Nilai sehinggalah kini di Gombak. Rumahnya di Sarawak, jadi cuti seminggu ini dinikmatinya di kota metropolitan, Gombak.

Sampai dihujung gerai, patah aku pergi mendapatkan Dadih Jagung dan terus menuju pulang. Pelbagai ragam manusia. Ada keluarga Arab sibuk membeli buah, ada warga Bangladesh dan India sibuk memilih buah yang elok. Bahu aku semakin lenguh dek beg yang berisi laptop dan barang yang lain. Aku mempercepatkan langkah.

" Isya' dah masuk ini. Rilek, jalan dengan tenang. Sampai penat-penat, tetapi solat tak khusyu' apa gunanya. Rasulullah contoh yang baik. "

Aku berbisik sendirian kembali.

Kaki dijejak masuk UIA melalui pagar belakang UIA dan aku berjalan kearah masjid. Terdengar alunan merdu bacaan Qur'an oleh Imam. Sejuk dan tenang rasa hati. Aku duduk disebentar disalah satu tangga yang ada di Kuliyyah Architecture dan menghabiskan Dadih jagung yang dibeli sebentar tadi. Teringat kenangan saat aku bersama Ustaz Ali, Akhi Mu'az dan yang lain ke Kuliyya Kaed suatu ketika dulu, menikmati makanan yang sangat murah. Kerap sahaja aku singgah UIA ketika aku belum lagi melanjutkan pelajaran disini. Iyalah, rumah dekat sahaja. Alhamdulillah.

Sampai sahaja di masjid, aku terus menunaikan solat fardhu Isya'.

Entah kenapa, aku teringin untuk berkongsi pengalaman malam ku ini ke Pasar Malam di belakang UIA ini.

UIA, di universiti ini aku pelajari banyak benda baru, kenal pelbagai personaliti dan gaya pemikiran masing-masing. Nasihat Mak dengan Babah sangat berguna dan apa yang mereka kongsikan pada aku suatu ketika dahulu muncul satu demi satu. Manusia pentingkan diri sendiri itu memang wujud. Acap kali Mak dan Babah menasihati tentang perkara ini. Pandai-pandai menyesuaikan diri dan jangan diperbodohkan.

Aku tahu bagaimana rasanya dipergunakan kawan hanya untuk kepentingan beliau sahaja. Sudah aku harungi saat itu dan sedang juga berlaku disekitar kawasan penuh berilmiah ini. Aku ingat lagi, susah payah aku mengorbankan masa untuk menolong kawanku dan ditinggalnya aku begitu sahaja. Ada yang kurang sopannya. Alhamdulillah, aku tidak menyimpan dendam. Kadang-kadang itu memang, selalu saja aku terasa hati atas sikap biadab sesetengah pihak, tetapi Rasulullah SAW mengajar kita untuk bersabar dan berdakwah dengan penuh hikmah. Dakwah diri sendiri itu prioriti utama.

Saat aku berjalan di pasar malam tadi, teringat memori lama di sekolah Melawati dulu. Kawan-kawan seperjuangan disana. Ada yang tersekat di Mesir dan Alhamdulillah dalam perjalanan pulang, ada yang dibarat dan merata tempat lagi. Setangkai doa aku kirimkan. Teringat juga perangai aku dahulu yang sebahagiannya memang tidak menyenangkan. Alhamdulillah, aku belajar.

Jangan salah anggap bagi yang sedang membaca, ini hanyalah sekadar perkongsian. Aku bukanlah sempurna, sungguh aku banyak kekurangan.

Maaf atas kekusutan dan kerumitan karangan Bahasa Melayu aku ini. Almaklumlah, sudah lama tidak menggunakan bahasa ini sebagai tugasan formal, semuanya Inggeris dan Arab di UIA. Insha Allah, akan aku mempertingkatkan kearifan ku dalam bahasa tanah tumpahnya darah ku,

Sampai disini sahaja.

Salamu'alaykum .



1 comments:

Abeir said...

it's really nice to occasionally throw in an entry in bahasa melayu..
it's really difficult to maintain a writing in b.m, mesti ada je some english somewhere..i enjoyed reading your entry :)